Friday, October 29, 2010

Masa Terbaik Cipta Sejarah_Coach Sathia

BUDAYA ‘jogho’ (juara) perlu dimulakan skuad Kelantan dengan memenangi final Piala Malaysia tahun ini jika mahu menjadi pasukan gergasi seperti Selangor, kata ketua jurulatihnya, B Sathianathan.
“Sekali sejarah tercipta, ia akan menjadi lebih mudah untuk generasi seterusnya mengikut jejak langkah,” kata Sathia. “Jika Kelantan menang kali ini, saya percaya pembangunan bola sepak di Kelantan akan meningkat mendadak.
“Ia (kejuaraan) bukan semata-mata untuk kegemilangan tahun tertentu, tetapi bakal menjadi pemangkin kepada kesinambungan sukan bola sepak di Kelantan. Berdasarkan pengamatan saya sejak berada di sini, budaya bola sepak di Kelantan cukup kuat.
“Saya percaya satu hari nanti Kelantan mampu melahirkan ramai pemain berkualiti untuk mewakili negara.”
Kelantan memperoleh peluang kedua merangkul Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil malam ini apabila bertemu lawan sama Negeri Sembilan yang menewaskan mereka 3-1, tahun lalu.
Menurut Sathia, peluang kali ini adalah yang terbaik buat Kelantan untuk mencetus kejuaraan memandangkan barisan pemain kali ini rata-rata pernah merasai pengalaman final tahun lalu.
“Saya yakin kali ini mereka dapat mengatasi perasaan gugup beraksi di pentas final,” katanya.
Pada final tahun lalu, Kelantan lambat menguasai permainan sehingga menyebabkan Negeri Sembilan mengambil kesempatan menerusi gol Shahurain Abu Samah (minit ke-18), Hairuddin Omar (m46) dan penalti Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (m59) manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan Indra Putra Mahayuddin menerusi sepakan percuma pada masa tambahan.

“Jika pemain bermain seperti biasa dan pantas menyesuaikan diri dalam tempoh 10 minit pertama,
saya yakin Kelantan mampu membawa pulang trofi berprestij itu kali ini,”
kata Sathia yang mula mengambil alih Kelantan pertengahan tahun lalu.

“Kami turun sebagai underdog, jadi tekanan tentunya lebih berat ke atas penyandang juara Negeri Sembilan. Walaupun mereka cuba menghilangkan tekanan itu dengan mengatakan perkara sama (underdog), hakikatnya mereka adalah juara bertahan dan pastinya menjadi pilihan utama.”

Habuan Menanti Jika Menang_MB






 








KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta penyokong Kelantan yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok tidak menimbulkan kekecohan yang memalukan negeri itu.
Beliau, sebaliknya meminta penyokong yang bertandang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan The Red Warriors dengan Negeri Sembilan itu memelihara semangat kesukanan yang tinggi.
“Dua perkara yang kita mahukan, pertama kita mahu menang dan kedua, jangan ada keganasan. Walaupun mengganas di padang bola ia akan memalukan negeri Kelantan. Kita tidak mahu perkara itu berlaku.
“Saya mahu penyokong Kelantan pergi dengan semangat kesukanan, suasana dan akhlak kena jaga. Nak sorak, soraklah tapi jangan sampai lempar botol. Itu budaya orang Eropah, mereka tidak ada akhlak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin Kelantan akan menang dan para penyokong juga mampu menunjukkan teladan yang baik dengan sentiasa berpegang kepada akhlak yang dianjurkan oleh Islam.
Jelasnya, kerajaan negeri akan turut memberi insentif kepada pemain bola sepak Kelantan kerana berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah insentif yang bakal dihadiahkan kepada pemain terbabit, tetapi berbeza dengan musim lalu.
“Insya-Allah kita akan berikan insentif kepada pemain cuma kalau saya beri pula pergi ke Mekah, hanya boleh dirasai oleh orang yang ke sana sahaja. Isteri dan anak-anak di rumah tak dapat merasa.
“Insya-Allah kita akan beri wang tunai supaya mereka (pemain) sekeluarga dapat rasa. Jumlahnya tak akan diberitahu. Kalau kalah pun kita akan beri juga sebagai tanda menghargai kesungguhan pemain,” ujarnya.
Nik Aziz memberitahu, beliau akan diwakili oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub untuk menyaksikan perlawanan tersebut sebagai tanda sokongan kepada pasukan Kelantan.
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan cuti umum pada 31 Oktober ini bagi memudahkan penyokong ke Bukit Jalil menyaksikan perlawanan tersebut, Nik Abdul Aziz berkata: “Cuti tak boleh beri sebab dah cuti untuk pilihan raya (Galas) pada 4 November. Kerajaan negeri dah beri cuti peristiwa untuk pilihan raya, jadi kita tak boleh beri cuti untuk bola kali ini.”

Owen Mungkin Berhenti Bermain

Saya di peringkat kedua lesen kejurulatihan saya dan menjadi pengurus bukan sesuatu yang mustahil.


Michael Owen mungkin akan berhenti dari bermain jika Manchester United melepaskannya pada hujung musim ini.
 
Owen, 30, berada di tahun terakhir dari kontrak dua tahun beliau dan masih belum berjumpa dengan Alex Ferguson mengenai potensi penyambungan kontrak.
 
Beliau berkata: "Sejujurnya saya mahu terus kekal tapi anda perlu bertanya kepada pengurus mengenai perancangan jangka panjang. 
 
"Saya boleh terus bermain di tahap ini untuk beberapa tahun lagi dan saya gembira untuk berada di kelab terhebat seperti United.
 
"Saya hanya merasakan yang permainan saya tidak sesuai dengan pasukan yang benar-benar bergelut. Saya tidak mahu bermain di liga bawahan."
 
Masalah kecederaan turut menjadi beban kepada beliau dan kecederaan harmstring terbaru yang dialami akan membuatkan Owen tidak beraksi untuk tempoh sebulan lagi

Becks Yakin Real Raih Gelaran Juara

Beckham jangka Real akan memenangi liga.

David Beckham menyebelahi bekas kelabnya, Real Madrid untuk merebut gelaran Divisyen Primera berbanding pesaing, Barcelona pada musim ini.
 
Madrid tidak memenangi trofi utama sejak 2008 dan dari tahun itu, Barca berjaya menonjolkan diri mereka sebagai antara kelab terbaik dalam sejarah bola sepak. Namun, dengan bimbingan latihan Jose Mourinho kini, peluang untuk Real merebut kembali kedudukan teratas di Sepanyol dan Eropah semakin cerah.
 
Juara Eropah sembilan kali itu telah membuat permulaan yang baik di bawah kendalian Mourinho. Mereka tidak pernah kalah dalam 12 perlawanan, menang sembilan dan sekarang berada di senarai teratas dalam kedua-dua Divisyen Primera dan peringkat kumpulan Liga Juara-juara.
 
Perjalanan Real masih jauh tetapi Beckham yakin Madrid akan memenangi gelaran pada musim ini.
 
Beckham, 35, menghabiskan empat tahun di Madrid dan memenangi gelaran Divisyen Primera pada musim terakhirnya sebelum pindah ke Los Angeles Galaxy pada tahun 2007.
 
Bekas kapten England itu juga berbicara tentang kekagumannya terhadap bos Madrid, Mourinho.
 
Bekas pemain Manchester United itu menyatakan pendapatnya tentang Mourinho, "Secara peribadi, Saya menghormatinya. Dia seorang yang luar biasa. Dia adalah antara orang yang pertama menghantar mesej selepas kecederaan melanda diri saya."