Saturday, November 20, 2010

'FOR SALE'!!!

Datangkan kos 25 juta pound tapi nilainya kini 12 juta pound.

Pengurusan Manchester City memutuskan sedia menanggung kerugian £50 juta untuk lima orang pemain.

Kelab terkaya dunia itu akan mendengar sebarang tawaran pada Januari ini untuk Emmanuel Adebayor, Wayne Bridge, Shaun Wright-Phillips, Roque Santa Cruz dan Jo.

Penjaga gol Shay Given akan turut sedia dijual  — tapi dengan harga asal £7 juta, sama harga dibeli oleh kelab.

Kesemua enam pemain bintang itu dibeli oleh Mark Hughes, pengurus yang digantikan Roberto Mancini, dengan kos total sebanyak £87.5 juta.

City akan menanggung kerugian paling besar untuk penyerang Adebayor, 26, dan Santa Cruz, 29.

Adebayor mendatangkan kos £25 juta dari Arsenal tapi tersedia dengan harga  £12 juta selepas gagal cemerlang seperti yang diharapkan selepas berpindah pada Julai  2009.

Sementara itu penyerang Paraguay, Santa Cruz dibeli pada harga £18 juta dari bekas kelab kendalian Hughes, Blackburn namun boleh dibeli pada harga serendah £4 juta.

Begitupun City dilihat sedia menanggung kerugian untuk setiap posisi di atas padang.

Bek kiri, Bridge, 30, berharga £12 juta dari Chelsea pada Januari 2009 namun City akan bersedia menerima tawaran £5 juta.

Dan kemudian pemain sayap Wright-Phillips, 28, yang kembali untuk karier kali kedua di City berikutan perpindahan £8.5 juta ke Stamford Bridge pada Ogos  2008.

Beliau bercakap tentang keinginannya menamatkan karier di  City namun rundingan beliau untuk kontrak baru telah digantung dan kelab sedia menjualnya sebanyak £5 juta.

Perjanjian £17 juta untuk pemain Brazil yang gagal, Jo, 23, telah dipersetujui oleh bekas pengurus Sven Goran Eriksson namun disempurnakan di bawah kendalian Hughes dan City sedar mereka akan bernasib baik untuk memperolehi £4 juta

Ancelotti Pening Kepala


BOWYER muncul wira apabila meledak gol kemenangan Birmingham pada pertemuan menentang Chelsea di Stadium St. Andrews semalam.


LONDON - Nasib malang terus menghantui Chelsea apabila mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
Selepas kecundang kepada Liverpool dan Sunderland, skuad kendalian Carlo Ancelotti itu tewas mengejut 0-1 di tangan Birmingham City semalam.
Kekalahan tersebut sekali gus membuatkan The Blues kini semakin tertekan dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.
Ketika ini, Chelsea masih kekal selaku pendahulu liga, namun berkongsi 28 mata dengan Manchester United yang menghuni tangga kedua.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium St. Andrews itu, Lee Bowyer muncul wira Birmingham apabila dia meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-17.
Di Old Trafford, United terus memberi tekanan kepada Chelsea selepas tidak berdepan laluan sukar bagi mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wigan Athletic.
Tonggak pertahanan, Patrice Evra membuka tirai jaringan United pada minit ke-45 sebelum penyerang muda Mexico, Javier Hernandez meledak gol kedua pada minit ke-77.
Di Stadium Emirates, Arsenal gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada Tottenham Hostpur.
Di Bloomfield Road, Blackpool tampil dengan aksi bertenaga bagi mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Wolves.
Di Stadium Reebok, Bolton Wanderers berpesta gol apabila menewaskan Newcastle United 5-1.
Di Stadium The Hawthorns, Stoke City mencatat kemenangan bergaya apabila membenam cabaran West Bromwich Albion 3-0. - Agensi

Norizan Tagih Khidmat Akmal

BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli besar kemungkinan menyarung jersi Perak dalam kancah bola sepak Liga M musim depan.
Pemain berasal dari Kedah itu yang musim ini beraksi untuk juara Piala Malaysia, Kelantan selepas mencurah kudrat di Selangor pada 2009 dijangka berada di Ipoh hari ini untuk memeterai ikatan dengan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kedatangan pemain yang pernah menimba pengalaman dengan kelab dalam Liga Perancis satu masa dulu untuk menyertai skuad bimbingan Norizan Bakar, musim ini.
“Kami akan adakan perbincangan dan jika semua lancar pemain itu akan mengikat perjanjian esok (hari ini),” katanya.

Zainol berkata, beberapa pemain termasuk dua pemain kebangsaan yang kini berada di Guangzhou dan seorang lagi pemain skuad Red Warriors juga menyatakan keinginannya menyertai Seladang.

“Dua daripada pemain itu adalah anak negeri Perak manakala seorang dari luar. Kita hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya.

Pafa sebelum ini menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Sharulnizam Mustapa, Chan Wing Hoong, Khairi Zainuddin dan Nasril Nourdin.