Friday, December 17, 2010

Al-Habsi Mungkin Dijual


Al Habsi mungkin berpindah Januari ini.

Pengurus Bolton, Owen Coyle memberi petanda dia mungkin menjual penjaga gol Ali Al Habsi kepada Wigan ketika jendela perpindahan Januari ini.
 
Penjaga gol Oman itu telah dipinjamkan ke pesaing Liga Perdana mereka dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlawanan buat Latics.
 
Ia telah memikat perhatian kelab lain termasuk Fulham dan West Ham dengan Coyle sudi melepaskan Al Habsi jika tawaran yang sesuai diterima.
 
"Semuanya khabar angin saja buat masa ini namun jika tawaran datang, kami akan berbincang dengan Ali bersama wakilnya dan buat keputusan." kata Coyle.
 
"Kami tahu dia bermain dengan baik, tapi kami juga sedar dia seorang penjaga gol hebat ketika kami pinjamkannya sebelum ini.
 
"Ianya situasi menang menang buat kami. Jika tawaran datang pada Januari, kami akan lihat dan buat pilihan yang sepatutnya untuk kelab ini."

Shearer Berminat Jadi Pengurus Blackburn


Alan Shearer... calon pengurus Blackburn.

ALAN SHEARER berminat dengan peluang untuk menjadi pengurus baru Blackburn.
 
Pemilik baru Rovers menafikan laporan bahawa Diego Maradona telah menjadi calon pilihan – dan membayangkan pengurus sementara Steve Kean mungkin akan dilantik terus jika beliau cemerlang dalam beberapa perlawanan seterusnya.
 
Namun Shearer dalam diam menanti sekiranya pemilik kelab, Venky's merancang untuk membawa pulang bekas hero Ewood Park tersebut kembali ke kelab lamanya.
 
Pengerusi Venky's, Anuradha Desai memberitahu: "Kami tidak melakukan sebarang pilihan ketika ini dan apabila sampai masanya, kami akan berikan Steve dua atau tiga bulan untuk membuktikan kemampuannya."
 
"Jika beliau mampu melakukannya dengan baik, maka beliau akan meneruskan tugas sebagai seorang pengurus – semudah itu. Pilihan terbuka untuk Steve, ia sangat jelas. Beliau telah diberikan masa dan jika beliau berjaya membuktikan kemampuannya, kami tidak ragu-ragu yang beliau akan menjadi pengurus kekal. Kami tidak akan mencari orang lain."
 
Jika Kean, 43, gagal maka Shearer akan menjadi calon paling sesuai seperti yang diinginkan oleh pemilik kelab. Menurut pengarah syarikat, Venkatesh Rao pengurus baru haruslah "warganegara British, lebih muda dan bertenaga" berbanding Sam Allardyce.
 
Di usia 40 tahun, Shearer 16 tahun jauh lebih muda dari Big Sam, yang tanpa disangka-sangka telah dipecat pada hari Isnin lalu.

Moyes Perhatikan Merci

Mbokani... sasaran Moyes.


Bos EVERTON David Moyes memantau penyerang Monaco, Dieumerci Mbokani.
 
Moyes menghantar peninjau untuk melihat penyerang Congo berusia 25 tahun itu semasa perlawanan Ligue 1, ketika Monaco tewas 2-0 kepada St Etienne.
 
Mengecewakan untuk the Toffees, Mbokani hanya digunakan sebagai pemain gantian separuh masa kedua. Mbokani menyertai Monaco dengan harga £6 juta pada musim panas lepas namun bergelut mencari prestasi terbaiknya.
 
Beliau hanya berjaya menjaringkan satu gol liga untuk kelab barunya itu. 
 
Moyes berminat dengan Mbokani sebelum pemain itu meninggalkan Standard Liege untuk ke Perancis.

Onuoha Sedia Pindah

Onuoha gembira dengan hidup di Sunderland.


NEDUM ONUOHA sedia tinggalkan Manchester City untuk Sunderland.
 
Pemain pertahanan bernilai £6 juta itu menyukai kehidupannya sejak dipinjamkan ke Stadium of Light dan akan mengalu-alukan perpindahan tetap. Pengurus Black Cats, Steve Bruce akan membuat bidaan pada Januari ini.
 
Onuoha, 24, berkata: "Saya gembira untuk datang ke sini jika City mahu menjual saya tapi saya masih ada kontrak dan pokok-pangkalnya ia terpulang kepada mereka."