Tuesday, November 9, 2010

Semangat Baru Chanturu


SEORANG pegawai perubatan membalut buku lali kaki kanan Chanturu dengan ais semalam.


PENJARING gol kemenangan skuad bola sepak kebangsaan ketika menewaskan Kyrgyzstan 2-1 kelmarin, S. Chanturu masih belum pasti dapat diturunkan pada aksi kedua bertemu Jepun di Stadium Huadu petang ini.
Pemain sayap Kelantan yang berasal dari Kulim, Kedah itu tidak dapat turun menjalani latihan di Stadium Huagong semalam selepas mengalami kecederaan buku lali pada minit ke-82 ketika aksi sulung Kumpulan A tersebut.
Namun Chanturu, 23, masih menyimpan hajat besar untuk terus turun beraksi membantu skuad negara dalam usaha mencari satu keputusan positif ketika bertemu Jepun.
"Kalau kesakitan pada bahagian belakang buku lali saya ini dapat sembuh sebelum perlawanan, saya memang begitu bersemangat untuk turun beraksi.
"Jika diturunkan, saya akan bermain bersungguh-sungguh untuk menunjukkan kepada Jepun bahawa Malaysia juga mampu menyaingi mereka," katanya ketika ditemui Kosmo! pada sesi latihan petang semalam.
Chanturu kini pada prestasi terbaik setelah dia turut menjaringkan satu gol ketika skuad kebangsaan menewaskan Maldives 4-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya minggu lalu pada aksi persahabatan terakhir sebelum berlepas ke Guangzhou.
Karier bola sepak Chanturu sebe- narnya bermula agak lewat apabila dia menjadi pemain skuad Piala Presiden Telekom Melaka pada 2007 dan pemain skuad Piala Presiden KL Plus pada musim 2008.
Hanya pada pertengahan musim 2009, Chanturu disenaraikan sebagai pemain skuad Liga Super Pulau Pinang sebelum dia dipancing Kelantan pada awal musim 2010

Safiq Pimpin Rakan Pasukan Hadapi Jepun


SAFIQ (kiri) mengambil alih tugas kapten daripada Norhafiz Zamani yang mengalami kecederaan pada aksi menentang Kyrgyzstan kelmarin.



SAFIQ RAHIM sudah bersedia untuk menggalas tugas selaku ketua pasukan apabila skuad bola sepak negara turun menentang Jepun pada perlawanan kedua Kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia 2010 di Stadium Huadu petang ini.
Pemain tengah Selangor itu mengambil alih tugas tersebut daripada Norhafiz Zamani Misbah yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan lutut pada minit ke-70 ketika skuad negara menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi sulung kelmarin.
Menurut Safiq, 23, dia akan memberikan persembahan yang lebih baik apabila berdepan Jepun petang ini memandangkan dia kini menggalas satu lagi tugas tambahan untuk mengetuai rakan-rakannya yang lain.
“Ketiadaan Zamani memang dirasai kerana dia merupakan tonggak paling senior dalam pasukan. Tapi apa boleh buat, kita terpaksa juga beraksi tanpa khidmatnya.
“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik dengan segala apa yang saya miliki untuk mendapatkan satu keputusan yang baik buat skuad negara pada aksi menentang Jepun kelak.
“Sebagai kapten, saya akan cuba memberi bantuan kepada rakan-rakan lain supaya kami tidak mudah hilang fokus ketika di padang," kata Safiq kepada Kosmo! semalam.
Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan A berkongsi tiga mata dengan pendahulu kumpulan, Jepun yang membelasah tuan rumah, China 3-0 kelmarin. Kyrgyzstan berada di tangga ketiga dan China di tempat tercorot.
Diminta mengulas aksinya pada perlawanan menentang Kyrgyzstan kelmarin, Safiq berkata, dia berpuas hati dengan persembahannya dan juga rakan-rakan sepasukan lain.
“Cuma pada aksi menentang Jepun ini, kami perlu meningkatkan lagi persembahan serta memperbaiki rentak permainan untuk mencatat keputusan yang baik bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan kedua.
“Kami berjaya menguasai sepenuhnya bahagian tengah ketika bertemu Kyrgyzstan. Cuma pada awal babak kedua kami agak hilang punca, mungkin kerana terlampau ghairah mencari gol kemenangan,” jelas Safiq

'Baby Face Killer' Keluar Dari United

Ole Gunnar Solskjaer sedang berbincang tentang tugasan baru di Norway


Ole Gunnar Solskjaer sekarang berada di peringkat seterusnya, berbincang untuk menamatkan hubungan 14 tahun dengan Manchester United dan menjadi pengurus kelab Norway, Molde.
 
Solskjaer, kini bertugas sebagai pengurus skuad simpanan Sir Alex Ferguson, pernah menolak jawatan itu dua kali dan awal musim ini memaklumkan yang dia mahu kekal di Old Trafford tetapi perbincangan telah dimulakan semula dan laporan dari Norway memberitahu dia terbang ke Molde Selasa lalu.
 
Wakilnya, Jim Solbakken berada di Aker Stadium hari ini dan bercakap dengan pengarah Molde, Tarje Nordstrand Jacobsen bagi membolehkan bekas striker United itu mengambil alih tugas pada Januari.
 
Pengerusi kelab, Erik Berg berkata, "Ini bukan lagi rahsia yang kami bekerja keras untuk dapatkan Ole Gunnar tapi kami masih belum tandatangan apa-apa kontrak lagi. Saya tak dapat jamin akan ada sidang media minggu depan tapi apa yang jelas saya sangat gembira untuk menyambutnya pulang semula."