Thursday, December 9, 2010

Kena Hukuman Berat

 TIGA bekas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose berdepan kemungkinan digantung satu musim andai mereka didapati bersalah melanggar kontrak bersama pasukan lama mereka, Kelantan.
Indra, Farhan dan Azizi dikatakan telah menyertai pasukan T-Team untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2011 dan mereka dikatakan sudah turun menjalani latihan di Kuala Terengganu pada minggu ini.
Mereka didakwa tidak membalas notis tawaran lanjutan kontrak yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang membawa maksud pemain-pemain tersebut telah bersetuju untuk bersama Kelantan bagi musim 2011.
Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain yang melanggar syarat tersebut boleh dikenakan hukuman penggantungan selama semusim.
“Notis tersebut dikeluarkan pasukan dalam tempoh tiga bulan sebelum kontrak tamat. Jika pemain mendapat tawaran pasukan lain untuk musim berikutnya, mereka perlu membalas notis itu dalam tempoh 14 hari.
“Namun jika pemain tidak balas langsung notis tersebut, maka secara automatik mereka dianggap bersetuju menyambung kontrak dan perjanjian bersama pasukan itu akan terus berkuat kuasa untuk musim berikutnya.
“Tetapi jika pemain tidak menerima notis lanjutan kontrak itu dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum kontrak tamat, barulah dia bebas untuk berpindah ke pasukan lain,” jelas Takiyuddin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Namun Kosmo! difahamkan, dua lagi bekas pemain Kelantan yang berhijrah ke pasukan baru iaitu Akmal Rizal Rakhli (Perak) dan Hairuddin Omar (Negeri Sembilan) tidak berdepan masalah kerana mereka tidak menerima notis tawaran lanjutan kontrak daripada KAFA.
Takiyuddin memberitahu, setakat ini jawatankuasa FAM itu masih belum menerima sebarang aduan atau bantahan daripada mana-mana persatuan negeri dan kelab termasuk KAFA.
“FAM belum menerima apa-apa bantahan. Tetapi kita tidak tahu jika ada persatuan yang akan mengemukakan bantahan ini selepas tarikh akhir pendaftaran pemain musim 2011 iaitu pada 15 Disember ini.
“Jika selepas tarikh tersebut pemain yang sudah menandatangani kontrak bersama pasukan baru dan mahu berpatah balik kepada pasukan lama kerana mereka melanggar syarat tersebut, ia sudah terlambat.
“Ini merupakan peringatan penting buat semua pemain supaya bertindak mengikut peruntukan dalam kontrak sebelum mereka membuat apa-apa keputusan,” tegasnya

Cole Impian Utama Mourinho

Ashley Cole mungkin akan ke Sepanyol pada tahun baru nanti.


Cole masih lagi dikaitkan untuk berpindah dari Chelsea mengikut jejak Mourinho yang meninggalkan Stamford Bridge pada 2007.
 
Berikutan kekalahan memalukan kepada musuh tradisi Barcelona, Mourinho dilaporkan ingin menambah-kuatkan lagi pasukannya pada Januari nanti.
 
Menurut sumber di Sepanyol, Cole yang berusia 29 tahun merupakan salah seorang sasaran utama Mourinho pada jendela perpindahan nanti.
 
Sekarang Madrid di tangga kedua dalam La Liga, dua mata di belakang pendahulu Barcelona.

Balotelli Takkan Ke Milan


Bakat Manchester City, Mario Balotelli tidak akan menyertai Milan dalam masa terdekat.

Agen bintang Manchester City, Mario Balotelli, Mino Raiola menyangkal laporan pemain itu bakal menyertai Milan dalam masa terdekat ini.
 
Striker itu baru-baru ini terlibat dengan pertengkaran dengan rakan sepasukan Jerome Boateng ketika latihan dan dilaporkan gagal menyesuaikan diri di Eastlands selepas berpindah dengan yuran besar dari Inter musim panas lalu.
 
"Balotelli datang ke City dan akan kekal untuk beberapa tahun. Mustahil untuknya ke Milan Jun ini, hampir mustahil," kata Raiola.
 
"Dia datang ke City dengan komitmen tinggi terhadap Mancini dan dia patut berterima kasih atas keyakinan beliau. Namun, masa depan Mario tidak bergantung kepada Mancini.
 
"Timbalan presiden Milan Adriano Galliani meminati Balotelli dan gemarkan aksinya di Inter dan saya pernah bercakap dengan Milan ketika Inter mahu menjualnya."
 
Ditanya kemungkinan pemain berusia 20 tahun itu pulang semula ke Nerazzuri, Raiola enggan menidakkannya.
 
"Dengan Inter dan Moratti, kami tiada masalah," katanya.